Tragedi Malam Itu...


2015

Malam itu hujan lebat sungguh disertai kilat dan guruh yang saling berdentum. Aku balik rumah lewat pada malam itu kerana ada urusan kerja yang masih belum selesai di pejabat. Jam menginjak pukul 11 malam. Jalan raya agak lengang. Hanya ada tiga empat kereta yang kelihatan. Hujan pula masih belum berhenti malah bertambah lebat mengehadkan penglihatanku.

Sedang asyik mataku fokus ke arah jalan raya, aku mendapat satu panggilan telefon.

"Hello, Gan!" suara Marissa nyaring melalui corong telefon bimbitku.

"Ya, Mar? Ada apa kau telefon aku ni?"

"Aku mahu bagitahu sama kau.. lif apartmen belah kanan terhempas petang tadi."

"Lagi sekali? Hari tu belah kiri, hari ni belah kanan pula? Apa sudah jadi maaa?" soalku sambil menghalakan kereta ke arah sebuah stesen minyak Petronas untuk pergi ke tandas.

"Aku pun tak tahulah, Gan.. Ramai orang sedang tengok lif yang terhempas ni.. Pihak bomba dan penyelamat akan datang sebentar lagi."

"Ada orang tak dalam lif tu?"

"Hmm.. tak pasti. Sedang tunggu bomba datang."

"Oh oklah kalau begitu. Nanti apa-apa hal kau telefon aku balik. Bye!"

Aku terus menekan butang merah pada telefon sebaik saja keretaku diparkir di sebelah bahagian tandas dan surau.

Tatkala aku hendak menuju ke tandas, aku terlihat ada seorang pencuci lelaki yang agak tua sedang mengemop lantai. Dia mencerlung kepadaku. Aku jadi serba tak kena. Takut pun ada. Namun aku memberanikan diri untuk menyapanya.

"Hello, pak? Saya ini memang selalu ke sini untuk mengisi minyak tapi... tak pernah pula saya nampak bapak di sini." aku bernada Indonesia sedikit kerana dari gaya pak cik ini dia seperti warga Indonesia.

Dengan pandangan yang agak menyeramkan, dia menjawab persoalanku, "Saya Ashril.. Panggil saja saya Pak Ashril. Saya pekerja baru di sini..." Nadanya agak perlahan tapi masih jelas kedengaran.

"Oh, patutlah saya tak pernah nampak Pak Ashril sebelum ni. Saya pergi tandas dulu ya! Selamat bekerja Pak!" aku mula menapak selangkah namun belum sempat masuk ke tandas dia memanggilku. Aku menoleh ke belakang.

"Nyonya!"

"Ya pak! Ada apa?"

"Jangan masuk ke kubikel belah kanan!" dia memberitahu tanpa memandang wajahku malah membelakangkanku. Tangannya ralit melakukan kerja mengemop.

"Kenapa ya, pak? Sebelum ini ok saja kok!" aku menyoal dengan rasa ingin tahu yang tinggi.

"Nggak usah banyak tanya. Ada tragedi yang berlaku sore tadi di situ. Mayatnya masih basah. Tidak ada yang mahu peduli kerana orangnya banyak dosa yang belum diampunkan." Nadanya mendatar saja.

"Mayat?" soalanku dibiarkan kosong tanpa jawapan. Tanpa berlengah lagi, aku terus masuk ke tandas dan menuju ke kubikel belah kiri.

Suasana di dalam tandas itu sunyi sepi. Lengang tanpa sebarang suara kerana jam menunjukkan 12.30 malam. Dari tempat parkir lagi hanya ada kereta aku saja. Bahagian mengisi minyak juga kosong.

Selesai membuang air kecil, aku membasuh tangan di sinki sambil membetulkan rambutku yang agak kusut. Cermin itu memantulkan kubikel kanan yang pintunya tertutup rapat bagaikan ada orang di dalamnya. Mengingatkan pesanan pak cik tadi aku berasa sedikit takut kerana katanya ada mayat di dalam. Namun aku memberanikan diri untuk membuka kubikel tersebut.

Setelah pintu kubikel ditolak, tidak ada apa-apa mayat. Hanya ada mangkuk tandas,lantai berjubin,paip dan tangki air dan juga seekor lipas yang mati. Tandasnya juga bersih. Aku tersenyum kecil.

"Lipas saja maa.. Pasti pak cik ini mahu bergurau dengan aku." aku terus melangkah keluar daripada tandas dan mataku melilau mencari pak cik tadi. Mujur masih ada dan aneh... dia masih mencuci tempat yang sama dan tidak berganjak walau seinci.

Aku melangkah perlahan-lahan menghampirinya.

"Pak Ashril..." aku menyentuh bahunya. Serentak dengan itu dia menoleh. Aku terkesima melihat wajahnya kerana dia bukan lelaki tua yang berbual bersama aku sebentar tadi tetapi seorang pemuda dalam lingkungan 20-an.

"Ya, cik! Ada apa-apa yang boleh saya bantu?" soal pemuda itu dalam senyuman.

"Oh, tidak ada apa-apa. Tapi.. boleh saya tanya sesuatu?"

"Boleh saja cik!"

"Ada tak seorang lelaki tua dalam lingkungan 50-an bekerja di sini? Tak silap saya namanya Pak Ashril."

"Pak Ashrilnya sudah mati petang tadi."

Meremang bulu tengkukku setelah mendengar pernyataan daripada pemuda tersebut. Terkedu aku seketika.

"Err.. sudah mati?"

"Kenapa cik?"

"Tidak ada apa-apa. Apa sebab kematiannya?"

"Kata orang yang tinggal sama apartmen dengannya, dia mati dalam lif. Lif itu terhempas. Badannya hancur dan daging-dagingnya terpeleset ke dinding lif. Kematiannya itu sungguh mengerikan. Saya sendiri tidak tahu."

Lif terhempas? Entah mengapa fikiranku terus saja teringat akan kata-kata Marissa. Mungkinkah kematian Pak Ashril ada kena-mengena dengan kejadian lif terhempas di apartmenku?

Aku terus melangkah menuju ke kereta sesekali mataku melirik ke arah pemuda itu. Aku menjadi seram sejuk dan tiba-tiba saja bulu romaku meremang seluruh anggota badan kerana aku perasan matanya itu tidak berkelip daripada memandang aku. Malah panahan matanya itu begitu menyeramkan. Itu yang aku rasakan tika itu.

Dalam perjalanan, fikiranku terus menerawang. Satu persatu insiden yang berlaku sebentar tadi berulang tayang di minda membuatkan aku menjadi buntu. Jalan pula semakin gelap dan lengang. Lereng-lereng bukit yang memang terpaksa aku laluinya kelihatan agak menyeramkan ditambahkan lagi dengan suara anjing menyalak dan suara sang cengkerik serta katak yang saling bersahutan.

Tiba-tiba, pintu keretaku diketuk kuat berkali-kali bagai ingin tercabut pintu tersebut. Aku sungguh terkejut dan panik. Aku tidak tahu makhluk apa yang mengetuk pintu keretaku di tengah-tengah jalan raya sebegini. Ingin saja aku menangis tika itu. Bunyi ketukan yang bertalu-talu itu diikuti pula dengan bunyi cakaran.

Aku segera memberhentikan kereta di bahu jalan sebelum perkara yang lebih buruk berlaku pada aku. Bunyi ketukan dan cakaran itu semakin kuat membuatkan tubuhku menggigil dan jantungku berdegup kencang. Peluh merenik di dahi. Telefon bimbitku dicapai dan nombor Marissa segera didail.

"Marissa! Kau kena tolong aku! Cepat! Ada sesuatu ketuk kereta aku ni! Tolong aku!"

"Gan! Kau kat mana? Aku pun tengah panik sekarang ni. Kau ni Gan ke?!"

"Yelah ni aku!! Kau kena tolong aku cepat! Aku kat simpang tepi jalan dekat dengan rumah ni."

"Habis tu kat rumah sekarang ni siapa? Dia ada kat luar weh! Kat ruang tamu! Aku kat dalam bilik ni!"

"Kau biar betul? Mar, aku syorkan kau jangan keluar! Tolong dengar cakap aku!"

"Kalau macam tu, macammana aku nak tolong kau?!"

"Something not right! Ketukan ni makin kuat.. Aku takut.."

Tut..Tut.. Tut..

Telefon bimbit terlepas daripada tanganku. Terketar-ketar jari-jemariku apabila melihat seorang lelaki tua yang tidak berwajah berdiri di sebelah keretaku seolah-olah memerhatikanku. Tangannya mengetuk-ngetuk cermin tingkap keretaku. Aku tidak sanggup melihat dia dengan bajunya yang berlumuran darah. Sungguh meremang bulu roma. Aku segera menutup kedua-dua telinga.

***
Kedengaran beberapa suara datang saling bersilih ganti menerpa cuping telinga. Cahaya-cahaya putih melintasi retina mata secara berterusan. Aku cuba membuka mata perlahan-lahan namun cahaya dari luar terus menyucuk-nyucuk membuatkan pandanganku berbalam dan perit. Apabila disedari ternyata hari sudah siang.

"Cik, bangun cik!" kelihatan seorang wanita tua yang bertudung mengejutkan aku. Di sisinya terdapat beberapa orang lelaki dan perempuan yang turut memerhati dan mengejutkan aku.

Syukur hari sudah siang. Tak sangka aku boleh sampai tertidur di sini akibat ketakutan yang melampau. Seusai mengucapkan terima kasih dan bersalaman dengan mereka, aku kembali meneruskan pemanduan menuju ke apartmen.

Setibanya di lobi apartmen dan sambil menunggu lif kiri terbuka, aku terpandang lif sebelah kanan yang sudah ditutup buat sementara waktu dengan meletakkan 'tape' merah dengan tulisan 'DILARANG MELEPASI KAWASAN INI'.

"Gan.." seseorang menyentuh bahuku. Spontan aku menoleh.

"Marissa!"

"Lif tu dah ditutup untuk selamanya atas alasan yang tertentu. Pihak bomba kata ada mayat lelaki tua dalam tu dengan mukanya yang sudah pecah. Mayatnya dibawa ke hospital untuk bedah siasat. Semalam aku diganggu oleh makhluk halus yang menyerupai kau. Lepas aku keluar dari bilik, aku nampak ada seseorang yang berambut panjang dan wajahnya yang mengerikan duduk mencangkung di atas sofa tak berhenti pandang muka aku. Aku pun apa lagi cepat-cepat keluar dari rumah. Aku nak tanya kau sesuatu boleh?"

"Apa dia?"

"Sepanjang kau tinggal kat sini selama 10 tahun, kau kenal tak Pak Ashril?"

Sebut saja nama Pak Ashril terus fikiranku teringat akan wajah tua yang berbual dengan aku di stesen minyak malam semalam. Jantungku mula berdegup kencang. Aku hanya menggeleng dengan dahi yang dikerutkan.

"Dia tu sebenarnya penghuni sebelah rumah kita."

"Apa yang kau cakap ni? Sebelah rumah kita tu rumah kosonglah dah 10 tahun tak berpenghuni."

"Aku pun sebenarnya tak tahu macammana benda ni boleh terjadi.. Pak Ashril tu telah melakukan pemujaan syaitan selama kita tinggal di sini dan apa yang lebih menyedihkan..." Marissa berjeda seketika. Dia seperti berada dalam ketakutan. "...dipercayai setelah kematiannya, syaitan-syaitan pujaannya akan mencari tuan baru. Kau tahu tak siapa tuan baru tu?"

"Tak..."

"Tuan baru tu... ialah kau Gan.."

Aku terkesima mendengar pernyataan tersebut. Tersekat-sekat nafasku bagai dihempap batu besar. 

"Pak Ashril telah menetapkan kau sebagai tuan baru syaitan pujaannya. Kalau kau membantah maka kau akan diburu sampai mati..."

***
2005

"Boleh cik baca benda ni untuk saya?" soal lelaki tua bertopi yang tidak aku kenali. Barangkali dia tidak tahu membaca.

Aku terus membaca apa yang tercatat di atas kertas yang diberikan oleh lelaki tua tersebut. Aku bagai dipukau kerana tidak menyedari sedikitpun apa yang aku baca dan apa yang aku hadapi tika itu.

Apabila tersedar, lelaki tua tersebut sudah menghilangkan diri dan lesap entah ke mana...

***
2015

Sungguh lidahku terkelu. Aku tidak mampu berkata apa-apa lagi. Kepalaku terasa dihempap bebanan yang berat. Akhirnya, aku terus jatuh terjelepok dan setelah itu duniaku bertukar menjadi kelam. 

Dalam pada itu, berpuluh-puluh ekor jenis syaitan mengelilingi tubuhnya yang kaku sendiri. Mungkin saat itu, syaitan-syaitan itu sudah bersedia untuk bertuankan Gan. Roh Pak Ashril terus bergentayangan di langit seolah-olah mencari mangsanya yang seterusnya..


~Put Your Words~

Nazihah@Jiha said...

huhuhu...kesian Gan tu....
buat lagi cerpen dik..akak nak baca hihi suka cerita seram begini...

Amir Rusyaidi said...

@Nazihah@Jiha hehe thanks support nanti amir buat lagi..

 
Amir Rusyaidi©